Tuesday, February 2, 2010

-alQURAn sebagai PEMBIMBING akaL-

Oleh kerana akal manusia dan inderanya tidak mampu mencapai masalah-masalah di atas dengan sendirinya, maka pencipta kepada akal itu sendiri telah menurunkan wahyu melalui para Rasul untuk menunjuki mereka Justify Fullke jalan yang benar. Sesungguhnya Allah s.w.t tidak akan membiarkan manusia itu sesat dengan ciptaan-Nya sendiri tanpa terlebih dahulu diberikan petunjuk kepadanya untuk kebahagiaan dunia dan akhirat.

Firman Allah s.w.t:
وجعل لكم السمع والأبصر والأفئدة قليلا ما تشكرون(9)
Ertinya: “…Dan Dialah yang menciptakan kamu dan menjadikan bagimu pendengaran, penglihatan dan hati(akal) tetapi amat sedikit kamu bersyukur”.

Malah, ada pendapat yang mengatakan bahawa al-Quran ialah kitab akal. Keseluruhannya merupakan seruan yang padu ke arah pembebasan akal daripada lingkarannya yang sempit. Al-Quran dengan pelbagai pendekatannya membawa maksud penyeruan kepada Allah agar menggunakan akal serta menjadikannya sebagai neraca penilaian bagi setiap perkara yang hendak dilakukan.

Namun, walau setajam dan setinggi manapun akal seseorang manusia itu, ia tetap bersifat dangkal, lemah dan sangat terbatas dan tidak berkemampuan untuk mengenal hakikat sebenar sesuatu yang dipelajarinya.

Oleh kerana itu, al-Quran tidak membiarkan akal manusia menerewang tanpa arah kerana banyak simpang siur yang boleh membawa manusia kepada kesesatan. Malah al-Quran telah memberi jalan yang benar asalkan manusia mahu berfikir dengan cara yang betul dengan menggunakan akalnya.
Ramai dikalangan ahli fikir yang mengakui pemikiran Islam turut menjadikan al-Quran sebagai sandaran pendekatan pemikiran mereka. Terdapat banyak ayat al-Quran yang telah dijadikan hujah dalam pendekatan mereka.

Secara umumnya, terdapat banyak ayat-ayat al-Quran dan Hadis Nabi serta fakta-fakta sejarah yang menunjukkan tentang Islam sebagai agama akal. Yang dimaksudkan agama akal ialah, hukum-hukum agama mestilah didasarkan kepada akal dan akal mestilah dijadikan penentu kepada pelbagai masalah, prinsip dan kaedah.

Jawapan seumpama ini kadang-kadang boleh membawa kepada penyelewengan yang akan berakhir dengan akal sebagai pemimpin bukannya agama yang sepatutnya. Justeru itu berlakulah kesongsangan dan penyelewengan dari jalan yang lurus. Sebenarnya hubungan akal dengan agama hendaklah dilihat dari sudut berikut:

1. Agama datang sebagai pembawa hidayah kepada akal dalam perkara-perkara beberapa masalah seperti berikut:

a)Pada perkara-perkara di luar tabi’i iaitu persoalan-persoalan akidah yang khusus mengenai Allah, Rasul, hari akhirat dan tetang ketuhanan yang ghaib (secara umum).
b)Pada persoalan-persoalan akhlak iaitu yang berkaitan dengan kebaikan dan kelebihan yang perlu kepada seseorang untuk menjadi seorang muslim yang salih.

2. Al-Quran diturunkan dan akal mampu memahami ayat-ayat yang jelas dan terang dan akal tidak bertelagah pada ayat-ayat yang ada kesamaran (mutasyabih). Malah dalam al-Quran sendiri banyak ayat-ayat yang mendesak manusia agar bertadabbur dan berfikir secara mendalam akan sesuatu perkara yang Allah jadikan kerana dengan cara itu manusia mampu memperolehi rahsia-rahsia yang terkandung di sebalik setiap perkara tersebut.

Jika seseorang muslim itu menghadapi ayat-ayat yang sukar difahaminya, ia mestilah menyerahkannya kepada Allah kecuali orang yang dibukakan oleh Allah kepadanya melalui ilham sehingga dia dapat mengetahui sesuatu rahsia tetang ayat-ayat yang mempunyai kesamaran itu asalkan ianya tidak bercanggah dengan akal dan prinsipnya.

Kesimpulannya, jelaslah bahawa al-Quran itu adalah Din al-’aql (agama akal) yang bermakna ia sebagai pembawa hidayah, petunjuk, pemimpin, dan pembimbing kepada akal. Prinsip-prinsip ini boleh difahami oleh akal dengan senang dan mudah. Al-Quran tidak pernah mencanggahi akal dan dalam masa yang sama, akal juga perlu merujuk kepadanya pada setiap perkara. Seseorang yang mendakwa akal itu dapat mencapai semua kebenaran, sebenarnya ia bukanlah orang yang sebenarnya telah menggunakan akal.

kalam dakwah,
"snshuhada"

No comments:

Post a Comment