Raja, peguam, doktor, guru, buruh, petani serta walau siapa pun kita, semua itu hasil penyatuan dua hati dan jiwa antara lelaki dan wanita melalui akad yang suci. Termeterai ikatan dan terpatrilah janji, maka bermulalah pelayaran bahtera rumahtangga atas asas-asas yang murni yang digariskan oleh Islam supaya terbinanya rumahtangga dan keluarga muslim.
Dalam membina keluarga muslim bukan seperti senangnya berkata-kata yang hanya perlu melafazkan tanpa dikenakan apa-apa cas bayaran tetapi memerlukan formula yang paling mujarab bagi memastikan matlamat awal perkahwinan tercapai.
Keunggulan tidak dapat difahami apatah lagi untuk dihayati dalam kehidupan seharian, kecuali apabila dakwah dan tarbiah telah disempurnakan dengan sebaik mungkin. Maka sudah pasti dakwah dan tarbiah ini bermula dari rumah agar anak-anak tidak berada dalam keadaan terbiar atau terdedah dengan pelbagai unsur negatif. Hal yang demikain bukan sahaja dapat membina keluarga muslim malah melahirkan masa depan generasi ummah yang sihat seiring sebagai mata rantai-mata rantai perjuangan Islam.
Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Begitulah perumpamaan usia perkahwianan muda mudi zaman sekarang. Seolah-olah berkahwin untuk bercerai. Statistik 2008 menunujukkan 22289 kes perceraian yang dicatatkan seluruh Malaysia daripada 130314 pendaftaran perkahwianan yang dilakukan.
Lantaran itu langkah segera perlu dilakukan, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan bahang dan baranya daripada ia terus menjadi api yang akhirnya akan membakar kehidupan bukan sahaja pasangan yang terbabit malah semua orang disekelilingnya.
Adalah menjadi suatu kewajaran yang bukan sementara atau masa terluang tetapi komitmen yang berterusan dan jitu dari kita semua untuk membina keluarga muslim dan rumahtangga syurgawi sebagaimana contoh teladan yang pernah dizahirkan oleh Rasulullah s.a.w sebagai role model ikutan yang paling ideal sehingga berjaya mencipta komuniti masyarakat rabbani.
Melihat kepada peri pentingnya pembinaan keluarga muslim yang di dalamnya terkandung nilai-nilai iman, bunga-bunga akidah, serta segala gerak kerja yang dilandaskan syariat Islam semata agar berkurangnya masalah rumahtangga. Ini kerana, hampir semua masalah berkaitan seperti gejala sosial remaja berpunca daripada rumah yang tiada mawaddah dan rahmah.
kalam dakwah,
"snshuhada"
No comments:
Post a Comment