Pada hakikatnya, asas falsafah hidup insan bukanlah ciptaan atau rekaan manusia sendiri, dan bukanlah hak manusia. Sebagaimana manusia itu diciptakan oleh Allah maka falsafah hidupnya yang menepati dengan hakikat kejadian itu adalah menjadi hak Allah Maha Penciptanya. Hanya asas falsafah hidup manusia yang disediakan oleh Maha Penciptanya itulah sahaja asas falsafah hidup manusia yang konkrit, kukuh, dan sempurna. Allah berfirman:
الذي خلق الموت والحيوة ليبوكم ايكم احسن عملا وهو العزيز الغفور
Maksudnya: Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara yang lebih baik amalnya, dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi amat Pengampun (kepada orang yang bertaubat).
Kehidupan insan atau manusia di dunia ini adalah untuk menerima dan menghadapi ujian Allah. Hidup dengan segala kandungannya dan keadaan dan suasananya, dengan segala corak dan warnanya itu adalah ujian Allah. Inilah asas falsafah hidup manusia yang hakiki seperti yang dikehendaki oleh Allah Maha Penciptanya.
Ayat yang umum ini telah dijelaskan secara terperinci oleh al-Quran dalam ayat-ayat ini:
•Segala yang di atas muka bumi adalah hiasan indah untuk menjadi ujian kepada manusia.
•Pangkat dan kedudukan adalah ujian kepada manusia.
•Kesenangan dan kekayaan, atau kesusahan dan kemiskinan adalah ujian kepada manusia.
Berdasarkan kepada hakikat ini maka Allah adalah penguji, manusia adalah yang diuji, dunia ini adalah medan ujiannya, usia hidupnya adalah tempoh masa menjalani ujian, sementara segala kandungan hidup itu pula adalah bahan-bahan atau soalan ujiannya.
Semakin manusia itu tinggi, mulia dan sempurna maka semakin besar dan hebat ujiannya. Demikian seterusnya mengikut kedudukan, pangkat, ilmu dan kemampuan yang dimilikinya.
Ujian Allah kepada manusia bukan sekali-kali untuk merendah dan menghina manusia, sebaliknya ujian Allah pada manusia adalah untuk kesempurnaan manusia itu sendiri. Allah tidak menguji manusia diluar kemampuannya. Allah menguji manusia demi untuk kesempurnaan manusia itu sendiri dalam taraf kemampuan manusia dan setelah disediakan dengan segala alat kelengkapan pada dirinya, bahkan disediakan dengan panduan-panduan dan petunjuk Ilahi yang jelas dan sempurna sehingga tidak ada hujah yang boleh dijadikan alasan untuk melepaskan diri daripada hakikat ujian Allah.
Hidup sebagai ujian Allah bukanlah falsafah kemanusiaan yang direka-reka dan diada-adakan oleh daya akal manusia tetapi ia adalah hakikat daripada Maha Pencipta yang menjadi teras dan asas pemikiran kepada kehidupan manusia demi untuk mencapai kesempurnaan hidupnya.
No comments:
Post a Comment