Saturday, August 8, 2009

”SEINDAH PERTEMUAN, SEMEKAR TAUTAN HATI”

Selesai sahaja peperiksaan SPM pada 13 Disember 2004, itulah perkara yang ditunggu-tunggu. Saat ini diibaratkan seperti merdeka dan sudah bebas. Tetapi kegembiraan itu tidak lama, tiba-tiba saya dirundum kesedihan yang amat sangat apabila menerima surat yang meminta saya mendaftarkan diri ke Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Hati ini cukup hiba sehingga seminggu sebelum melapor diri saya menangis yang amat sangat sehingga mogok tidak mahu makan dan bercakap dengan sesiapa pun.

Akhirnya, hari mendaftar tiba juga. Saya pergi dalam keadaan sedih dan kecewa. Hari-hari yang saya lalui di kem dengan sedih dan kecewa hingga menyebabkan saya jatuh sakit dan dimasukkan ke wad. Kemudian, perasaan saya sedikit gembira dan ceria apabila saya mula rapat dengan semua jurulatih dan tanpa disangka-sangka rupa-rupanya saya dikenali oleh semua pelatih-pelatih di kem tersebut. Ini kerana saya lah satu-satunya pelatih yang bertudung labuh dan saya tetap dengan pakaian seorang muslimah. Kerana alasan itulah saya menjadi tempat rujukan sama ada pelatih lelaki mahupun perempuan.

Dalam banyak-banyak perkara, saya tertarik untuk bercerita tetang seorang sahabat yang sangat saya kasihi ini. Bernama Asiah, lahir dari keluarga yang kaya raya, ayahnya berketurunan Melayu manakala ibunya Cina muslim. Asiah seorang yang sangat bijak tetapi asas agamanya cukup tipis senipis selaput bawang kerana ibu bapanya tidak mengamalkan ajaran Islam yang sewajarnya, pendek kata Islam hanya pada nama. Walaubagaimanapun, saya cukup kagum dan bangga dengannya yang mempunyai semangat kental dalam mencari apa itu Islam. Dia mempelajari sendiri al-quran bermula dari huruf alif hingga al-Fatihah pada usianya yang sudah menjangkau 14tahun.

Saban hari selepas menunaikan solat fardhu kami menangis bersama-sama mendengar luahan hatinya yang cukup dahagakan sinar tarbiyyah Islam. Dia mengimpikan kehidupan sebagai seorang muslim yang lengkap begitu juga dengan keluarganya. Bibirnya sering mengatakan bahawa dia cukup cemburu terhadap saya yang bukan saja mempunyai pengetahuan agama yang tinggi malah berperibadi muslimah serta berpegangan agama yang kuat walaupun dicampak di tengah-tengah kemelut masalah sosial. Lantaran itu, saya sentiasa menasihatinya agar tabah hadapi ujian ini serta sentiasa pandang ke depan untuk berusaha menjadi yang lebih baik.

Sepanjang perkenalan kami, saya tidak pernah memaksa dia untuk berubah tetapi cukuplah sekadar dengan penampilan, perwatakan, dan kata-kata yang saya miliki. Walaupun saya banyak buku agama tetapi sayangnya semua itu tidak dapat membantu Asiah kerana dia kurang faham bahasa Melayu, jadi apa yang ada pada diri saya dijadikan bahan yang cukup penting dalam membimbingnya.

Seperti yang sedia maklum, jadual harian di PLKN tidak termasuk dengan solat. Andai kita leka dan tidak bertegas dengan perintah Allah itu pasti kita akan terlepas daripada menunaikan kewajipan terhadapNya. Oleh yang demikian, saya selalu mengajak Asiah solat berjemaah di surau walaupun kami berada dalam kumpulan yang berlainan. Faktor inilah menyebabkan kami begitu akrab, sehingga ada yang membuat kesimpulan di mana ada Asiah di situ ada Shuhada. Namun begitu, ada yang mempertikaikan persahabatan kami yang agak pelik dan ajaib. Ada sesetengah mereka berkata,” kenapa ya kamu boleh jadi kawan baik dengan Asiah? Sedangkan kamu begitu menjaga pergaulan, berpakaian menutup aurat dan kamu adalah ikon muslimah. Asiah pulak bert-shirt, berjeans dan memang jauh beza dengan kamu. Pelik saya....”

Sedikit sebanyak Asiah agak terasa dengan kata-kata sebegitu tetapi saya selalu mengingatinya, ”persahabatan kita bukan diukur dengan pakaian tapi ukhuwwah kita kerana Allah. Dan Syu yakin satu hari nanti Asiah ini akan berubah menjadi muslimah solehah yang menjadi penyejuk mata sesiapa saja yang memandang. Syu harap sahabatku ini pada masa hadapan bukan sahaja menjadi doktor kepada pesakit-pesakitnya malah menjadi doktor kepada masalah umat Islam”.

Saban hari saban waktu yang berlalu, dengan berbekalkan sedikit ilmu di dada yang saya ada, saya menasihati dan meniupkan semangat kepadanya bahawa dia mampu berubah menjadi muslim yang terbaik pada pandangan Allah dan juga di mata manusia. Hati dan jiwa yang rindukan sinar iman dan tarbiyyah sebenarnya cepat terusik dengan kata-kata semangat dan nasihat. Masa berlalu, 3bulan menjalani hidup di PLKN telah pun berakhir. Namun, tautan ukhuwwah antara kami tiada penghujungnya. Email dan sms menjadi penghubung antara kami. Akhirnya sahabat yang sangat ku sayangi ini nekad untuk berubah, baik dari segi penampilan, luaran dan dalamannya. Perubahannya membuatkan saya begitu kagum, daripada bert-shirt dan berjeans, sehingga hari ini Asiah begitu istiqamah dengan pakaian sahabiah, berjubah dan bertudung labuh.

Kehidupan orang beriman tidak hanya sekata dan mendatar, ia pasti akan diuji untuk melihat tahap keimanannya. Perubahan yang dilakukan Asiah membuatkan dia menerima tamparan hebat dari keluarga keturunan Cinanya. Keluarganya mempertikaikan kenapa perlu pakai begini? Kenapa mesti jadi begini? Kenapa itu? Dan kenapa ini? Asiah diterjah dengan pelbagai persoalan dan kutukan dari semua keluarga Cinanya hingga membuatkan dia seakan menyerah kalah. Tangisan dan esakannnya membuatkan semangat saya lebih membara untuk membimbingnya. Kata-kata inilah yang membuatkan Asiah terus bangkit dan tidak pedulikan lagi apa yang bakal dia hadapi.

”sahabatku... sebenarnya Asiah seribu kali jauh lebih baik dari Syu. Syu jadi begini dan berada dalam keadaan ini kerana Syu dah dilahirkan dalam keluarga yang asalnya begini dan terus mendidik Syu jadi macam ni. Apa yang Syu dapat sama ada dari segi ilmu, pendidikan , asuhan dan sebagainya, Syu disuap, disuap dan terus disuap. Tapi Asiah lain, Asiah mengenal huruf alif atas usaha Asiah sendiri, Asiah pelajari apa itu solat, Islam, menutup aurat, dan semua suruhan Allah atas titik peluh Asiah sendiri. Alangkah hebatnya kamu sahabatku, sehingga kamu boleh jadi semulia ini. Pandanglah ke depan sahabatku, sebenarnya kamu mampu pergi lebih jauh dari ini. Jangan pedulikan kata-kata orang, kerana manusia itu sifatnya tidak pernah rasa cukup dengan apa yang ada. Buktikan pada mereka yang Asiah mampu lakukan semuanya sehingga Insyaallah Syu percaya satu hari nanti pasti mama dan papa Asiah akan disinari hidayah dan iman dariNya...”

Setelah Asiah nekad untuk menjadi dirinya sendiri, Allah uji pula dia dengan kematian nenek yang sangat disayanginya. Walaupun pahit untuk ditelan, akhirnya dia tersenyum jua apabila papanya mula berubah. Ini berlaku apabila papanya sangat insaf kerana tidak pandai baca doa dan yasin untuk arwah ibu yang sangat dia sayangi. Bermula dari detik inilah papa dan mamanya mula berubah ke arah muslim sejati.

Berkat kesabaran dalam menempuhi segala mehnah dan tribulasi, sahabatku ini bukan saja berjaya mengubah dirinya, keluarganya malah dia menjadi contoh kepada semua, Asiah bukan sahaja menjadi ikon wanita muslimah dikalangan para sahabatnya malah dia adalah seorang pelajar terbaik dalam bidang perubatan di India kini. Resepinya cukup mudah, menjadikan qiamullail sebagai pembuka tirai untuk mengulangkaji pelajaran serta menjadikan solat dhuha sebagai permulaan kehidupan seharian. Begitulah rutin kehidupan wanita solehah ini.

Dalam leka mengatur cita-cita dan harapannya yang mahu berkhidmat di negara-negara yang sangat memerlukannya seperti Palastin, dia dilanda lagi masalah yang cukup berat kali ini iaitu masalah hati. Keterampilannya sahaja sudah cukup membuktikan Asiah adalah muslimah solehah. Keadaan ini membuatkan ada hati yang dilanda badai. Seorang pelajar yang sama bidang dan sekelas dengannya terpaut hati dengan wanita hebat ini. Lelaki ini bukan sahaja bertitlekan seorang pelajar perubatan tetapi dia juga seorang naqib kepada pelajar-palajar Malaysia yang berada di India serta dia juga giat menyebarkan dakwah Islam di sana. Namun, cinta tidak mengenal siapakah dia orang itu dan setinggi mana imannya. Kerana cinta Asiah tadi, lelaki ini tidak disangka-sangka sehingga berubah begitu ketara, dengan tidak menjalankan usrah, membiarkan studi terumbang-ambing, menghentikan kegiatan dakwah dan kehidupannya seolah-olah tidak terurus.

Iman wanita solehah ini begitu sakit dan kecewa dengan apa yang terjadi. Asiah beranggapan dia telah membuatkan seorang lelaki yang hebat telah lalai kerananya. Dia begitu takut dan tertekan dengan apa yang berlaku. Sebagai seorang sahabat yang cukup memahami, saya cuba sedaya upaya untuk mencari jalan penyelesaian dalam masalah ini. Akhirnya saya bertanya kepada Asiah, apakah dia suka dengan lelaki tersebut? Saya tidak meminta dia menjawab persoalan tersebut tetapi saya meminta dia mencari jalan dan petunjuk Yang Maha Esa (istikharah). Dalam masa yang sama saya mengambil kesempatan menasihati lelaki tersebut :

”Letaklah dia dalam jagaan Allah. Yakinlah pada Allah, nescaya kamu akan merasai ketenangan. Seandainya dia milikmu, Allah pasti akan menjaganya untukmu. Kembalilah padaNya, mintaklah petunjukNya..”

Setelah bermunajat pada Yang Maha Esa, akhirnya Asiah membuat keputusan untuk menerima si naqib tersebut, atas alasan yang utama mahu khalifah Allah itu kembali pada jalan dakwahnya.

Begitulah kisah sahabat ku yang kini pulang ke Malaysia untuk membuat persiapan perkahwinan mereka sebelum meneruskan perjuangan dalam menuntut ilmu dan menyebarkan dakwah di India.

2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. syukran ya sodiqi..cerita yg tersimpul seribu pengajaran..

    ReplyDelete