Saturday, August 8, 2009


“sekudus cinta”.


”Buat Salsabil Al-Khauthar”.

Begitulah catatan pada satu sampul surat yang tertulis besar nama Salsabil pada suatu pagi. Sampul surat itu dilekatkan di atas meja studi di perpustakaan yang setiap hari menjadi tempat dia menghabiskan masa di situ. Tanpa banyak berfikir dari mana datangnya, Salsabil terus membuka sampul surat tersebut untuk melihat isi di dalamnya. Isinya menyatakan:

” Awak telah membuat saya tak tentu arah... Awak kejam!!!”

Alangkah terkejutnya Salsabil dengan isi kandungan surat itu. Fikirannya ligat berfikir siapakah gerangan yang tidak berpuas hati atau berdendam dengannya. Hati kecilnya bermonolog dengan mengatakan yang dia tidak pernah ada musuh. Hari itu Salsabil tidak dapat memberi tumpuan pada ulangkaji dan tugasan yang perlu dia siapkan. Hati dan fikirannya berkecamuk memikirkan perihal itu.

Serasa tidak mampu untuk gelisah sendirian, Salsabil akhirnya menceritakan apa yang telah terjadi kepada sahabat baiknya Hafiza. Mereka berdua cuba menganalisis apa sebenarnya yang berlaku.

Setelah fikiran Salsabil agak tenang dari memikirkan tentang surat itu, dua hari kemudian datang lagi surat yang sebegitu, dengan tulisan dan ayat yang sama. Tetapi kali ini surat itu berada di dalam buku nota Salsabil. Kejadian ini lagi aneh, sehingga mereka berdua nekad ingin mencari siapakah yang terlibat dalam perkara ini.

Setelah seminggu Salsabil mendapat surat misteri itu, akhirnya segala persoalan yang timbul selama ini terjawab apabila rakan sekelas mereka, Hafiz yang cuba meletakkan surat berikutnya di dalam buku nota Salsabil terkantoi dengan Hafiza yang mengintip perbuatannya ketika itu.

Salsabil mendesak Hafiz untuk mengetahui segala yang berlaku. Hafiz serba salah dan akhirnya menceritakan juga apa yang terjadi kerana memikirkan persahabatan antara mereka.

”Aku tak tahu macam mana nak jelaskan pada kau Salsabil. Aku terhimpit antara dua sahabat, antara kau dengan Anas. Aku tak ubah diibaratkan seorang posmen untuk menghantar surat-surat tersebut kepada kau Salsabil. Ini semua rancangan Anas. Dia kawan baik aku. Aku sayang dia sebagaimana persahabatan kau dengan Hafiza, jadi sebab itulah aku turut serta terlibat dalam perancangan ini. Sebenarnya Anas dah lama sukakan kau Salsabil, tapi dia tak berani nak nyatakan perasaan itu. Takut kau marah dan menjauhkan diri darinya. Aku mintak maaf Salsabil. Kau dah tahu perkara sebenar, jadi aku rasa kau boleh selesaikan sendiri sekarang”.

Bagaikan terkena kejutan elektrik, begitulah perasaan Salsabil apabila dia mendengar pengakuan daripada Hafiz. Sama ada ingin percaya atau tidak, Salsabil keliru. Yang pasti gadis ayu bertudung labuh ini tidak pernah mengenali mana-mana lelaki melainkan pelajar-pelajar sekelas dengannya.

Salsabil cuba merisik berkenaan Anas daripada sahabat-sahabat muslimat. Ternyata Anas bukan calang-calang pelajar, dia sangat dikenali oleh hampir semua warga kolej tempat mereka menuntut. Maklumat dari sahabat-sahabat mengatakan Anas adalah pelajar terbaik kolej itu dan hampir semua sahabat yang Salsabil tanya mengenai Anas mengatakan dia digilai ramai pelajar perempuan kerana ketampanannya.

Suatu hari, sedang Salsabil leka membaca buku ”La Tahzan” di perpustakaan tiba-tiba ada suara menyapanya. Terkejut bukan kepalang apabila orang menegur itu memperkenalkan dirinya sebagai Anas dan dia mengakui segala surat yang dia hantar melalui Hafiz. Ternyata Hafiz tidak bohong, ceritanya sama seperti apa yang Anas perkatakan.

Memang sudah sifat Salsabil, seorang yang lebih suka memandang dan membisu sahaja dalam apa jua keadaan. Penat sudah Anas mengatur kata-kata, namun Salsabil tetap juga membatu tanpa menjawab sepatah pun percakapan Anas. Leka mereka begitu tanpa disedari ada mata yang kurang senang memandang kelakuan mereka.

Bagaikan gelora melanda pelayaran, begitulah kehidupan Salsabil yang diuji Yang Maha Esa dengan khabar angin tentang hubungannya dengan pelajar terbaik kolej itu, Anas. Setiap gerak geri pergerakan Salsabil akan ada mulut-mulut bisa yang membicarakan tentangnya dan Anas.

Tautan ukhuwwah yang terbina sedikit sebanyak mengguris hati Hafiz terhadap apa yang melanda Salsabil. Hafiz sedih melihat Salsabil yang terluka dek setiap kata-kata orang berkaitan sahabat baiknya. Terhimpit antara dua sahabat, bagaikan diluah mati emak ditelan mati bapak, itulah keadaan Hafiz yang berada ditengah-tengah kemelut masalah antara Salsabil dengan Anas.

Hati mana tidak resah gelisah bila mana melihat orang yang disayangi saban hari menangis kecewa dek kerana cakap-cakap orang tentang hubungan yang tidak betul itu. Akhirnya, Anas mengambil keputusan untuk bertemu dengan Salsabil untuk meminta maaf atas segala yang berlaku. Anas sangat kesal atas apa yang berlaku. Dia sendiri tidak menyangka Salsabil akan menanggung semua ini.

”Ukhti, maafkan ana atas segala masalah yang dihadapi ini. Ana harap apa yang berlaku ini tidak akan menghalang untuk kita bersahabat”, kata Anas ketika bersemuka dengan Salsabil.

Gadis yang sopan dengan pakaian sahabiah ini tidak terus mendiamkan diri setelah banyak air mata yang mengalir kerana badai fitnah dan gosip menerjah hidupnya. Bibir kemerahan itu akhirnya meluahkan rasa. ”Ana milik Allah, mintaklah padaNya. Satu perkara yang ana nak ingatkan, sia-sia perasaan seorang lelaki pada seorang wanita seandainya dia masih belum mampu untuk memikul tanggungjawab. Teguhkan cinta mu padaNya sebelum mendamba cinta hambaNya. Maafkan ana, diri ini masih belum bersedia untuk semua ini, carilah yang selayaknya untuk enta”.

Alhamdulillah, ternyata kata-kata Salsabil sedikit sebanyak terkesan pada hati pemuda ini. Anas yang dahulunya lupa akan tanggungjawabnya sebagai pemimpin pelajar, telah menjalankan amanah itu dengan sebaik mungkin. Dari hari ke hari dia seolah-olah cuba mengubah tabiat hidupnya daripada yang kurang baik kepada yang lebih baik. Anas berusaha berjemaah lima waktu di masjid, menjalankan amanah usrah seperti yang dijadualkan serta cuba berjinak-jinak dengan naqib-naqib yang menganjurkan qiamullail setiap hujung minggu. Pendek kata, kehidupan Anas sudah lengkap sebagai pelajar terbaik dan juga muslim sejati. Benarlah kata orang, cinta mampu mengubah seseorang, cinta menjadikan orang sihat bertukar sakit, kaca dilihat bagai permata, buruk dikaburi baik dan sehingga sampai kepada ungkapan,

”Kalaw roboh Kota Melaka,

Papan di Jawa daku dirikan,

Kalaw sungguh bagai dikata,

Nyawa dibadan ku serahkan”.

Setenang air dilaut tatkala dipandang, namun tak siapa tahu badai dan ombak senantiasa melanda dan menghakis. Itulah bandingan yang sesuai dengan diri Salsabil Al-Khauthar yang luarannya tampak tenang namun gelora dalamannya tak siapa yang tahu. Muslimah sebaik Salsabil sudah tentu akan terjentik perasaan bersalah atas apa yang terjadi. Menangis kecewa hati wanita solehah ini, takut-takut dia dihukum Allah dek kerana telah melalaikan dan menjadi bahan godaan kepada seorang lelaki. Kecewanya belum pun sembuh datang pula luka lain yang menghiris.

Asyik dengan hobinya yang suka mencoret cerpen dan sajak, tiba-tiba dia dikejutkan dengan tepukan kuat dibahunya. Aduh! Kuatnya tepukan itu seperti mahu ajak bergaduh. Anehnya orang yang menepuknya itu tidak dia dikenali dan dia menyangka perempuan itu tersalah orang tetapi orang itu mengenalinya. Akhirnya kekusutan dijiwanya terungkai apabila perempuan tersebut memulakan bicara.

”Heyyy! Perempuan... nampak jer baik tapi hati busuk. Selama ini aku terpedaya dengan kata-kata orang yang cakap kau ni baik, solehah la konon-kononnya. Harap pakaian jer bagus tapi dalamnya sifar. Sedar diri sekit sebelum nak rampas pakwe aku. Anas dengan aku dah lama couple, dia sayang aku, kau tau tak. Aku nak kau jauhkan diri dari Anas”.

Sinis kata-kata Diya yang datang mengaku Anas adalah teman lelakinya. Salsabil bermonolog sendiri, ”kau silap Diya! Kau sangka aku akan takut dengan kata-kata kau tapi sekelumit perasaan pun aku tak pernah ada pada Anas!”.

Seminggu kemudian Salsabil mendapat berita Anas dan Diya ditangkap oleh penyelia kolej di sebuah bilik dalam keadaan mencurigakan. Oleh kerana status Anas sebagai pelajar terbaik dan pemimpin pelajar, perkara ini dirahsiakan dari umum. Tambahan pula banyak pihak yang tidak percaya Anas berkelakuan sebegitu. Anas pula ada menjelaskan perkara sebenar kepada kakitangan kolej supaya mereka tidak meraguinya dan menyatakan perasaan sebenarnya pada gadis bernama Salsabil Al-Khauthar bukannya orang lain.

Untuk kali kedua Salsabil bersua muka dengan Anas. Ini pun kerana memikirkan persahabatannya dengan Hafiz dan Hafiza. Kalau tidak jangan harap dia mahu hendak mengadap muka lelaki itu. Menurut dua sahabatnya itu, hanya dia sahaja yang mampu menolong Anas. Fikiran Salsabil ligat berputar apa lagi akan berlaku selepas ini. Tapi Salsabil nekad, kali ini langkahnya adalah langkah dakwah.

Akhirnya fahamlah Salsabila akan keadaan sebenar tentang Diya dan juga berkaitan berita penangkapan Anas dengan Diya. Melalui cerita yang Anas sampaikan....

”saya kenal rapat dengan Diya tu. Dia satu kampung dan satu sekolah dengan saya dulu. Kehidupan dia penuh dengan sosial dan pergaulan bebas. Tapi dulu dia agak ok dan pendiam. Dia jadi macam tu sebab tekanan atas masalah keluarga. Mak dengan ayahnya dah lama bercerai, kakaknya pula kahwin lari dengan pakwenya, abangnya pula menghilangkan diri sampai sekarang. Dulu masa mak ayahnya selalu bergaduh, dia yang jadi mangsa untuk dilepaskan segala kemarahan dan kebencian oleh pasangan suami isteri itu. Sekarang, kakaknya balik kampung tinggal dengan maknya. Kakaknya menjadikan maknya bagaikan seorang hamba, basuh pakaian, memasak, kemas rumah dan segala macam keperluan harian perlu maknya sediakan untuk kakaknya bersama suaminya. Kerana kebencian dan dendam, dia tak pernah pulang ke kampung. Dia ramai kawan lelaki dan sudah banyak kali bercinta. Dia pernah cerita pada saya yang dia sangat sayangkan seorang lelaki ni, namanya Daniel. Kerana terlalu sayang dan cinta, dia sanggup buat apa sahaja malah mereka pernah berzina. Kalau tak silap saya dah lebih dari tiga kali. Diya cakap setiap kali Daniel mahukan dirinya mesti dia akan berjanji akan mengahwini Diya. Tapi kali ini perkara buruk yang tanpa Diya sangka terjadi. Bulan lepas Diya ada jumpa saya, mengadu Daniel telah tinggalkan dia dan tak nak dia lagi. Lebih mengejutkan dia cakap dia dah mengandung 2bulan. Dan penangkapan saya dengan dia 3hari lepas adalah perangkapnya. Diya sukakan saya dan memujuk saya berkahwin dengannya serta berjanji dia akan bertaubat. Alasannya sangat mudah, kalau saya berkahwin dengan dia, dia akan bertaubat. Saya cukup marah dengan idea dia yang gila tu dan sebagai caranya untuk dia selesai masalah, dia perangkap saya pada malam tu”.

Manusia sehebat Rasulullah pun diuji Allah dalam berdakwah, inikan pula insan sekerdil Salsabil. Dia cuba mendekati Diya, namun pelbagai mehnah dan tribulasi dia terima. Saban hari Salsabil terima kutukan, maki hamun dan sumpah seranah dari Diya apabila dia cuba dekati. Disebabkan cintanya pada dakwah sangat utuh, semua itu dia anggap sebagai rencah kehidupan. Sekeras-keras kerak nasi, lama kelamaan pasti lembut. Kelembutan dan kesabaran Salsabil membuatkan hati Diya tersentuh, akhirnya Diya menyambut salam ukhuwwah dari Salsabil.

Setiap masa lapang yang ada Salsabil cuba dampingi Diya. Setiap patah perkataan yang dituturkan Salsabil penuh dengan nasihat yang berhikmah. Hari ke hari hubungan mereka semakin erat sehingga pakaian Salsabil itulah pakaian Diya. Kesabaran gadis yang mendamba cinta dakwah ini akhirnya memberi kesan kepada Diya yang dahulunya berpakaian menjolok mata kemudiannya bertukar sopan dan mengikut syariat. Salsabil tidak pernah memandang rendah atau memandang hina kepada Diya walaupun setelah apa yang Diya lakukan. Malah Salsabil menjadikan Diya sebahagian dari hidupnya. Dia memperkenalkan Diya dengan keluarganya, kawan-kawannya serta dengan semua kenalannya. Ini menyebabkan Diya merasa dihargai dan mudah menerima nasihat Salsabil.

Tiba masa Salsabil perlu menumpukan perhatian pada pelajaran untuk menghadapi peperiksaan akhir. Atas perbincangan dan nasihat, akhirnya Diya bersetuju pergi ke tempat pemulihan untuk membaiki dirinya yang tercicir dari landasan sebagai muslimah serta untuk persediaan menunggu kelahiran anak tak berbapa yang dikandungnya.

Dan kini, Anas sedang sibuk dengan pelajarannya untuk merangkul gelaran doktor pakar bedah. Diya pula sudah berkahwin dan kini menjadi salah seorang petugas di rumah pelindungan yang pernah dia huni suatu ketika dahulu.

Allahamdulillah, Salsabil pula sangat bersyukur misi dakwahnya tercapai. Dia berjaya mengalihkan pandangan seorang lelaki daripada cintanya kepada cintaNya. Lantaran itu, kehebatan strategi dakwahnya menyerlah apabila berjaya menarik kaum sejenisnya daripada terus menerus berada dilembah kebinasaan. Itulah kisah gadis yang mendambakan cintanya hanya pada dakwah.

No comments:

Post a Comment