Tuesday, August 4, 2009

"BuKaN TeMPaT MeNCaRi JaNTaN"

Memetik satu kisah di dalam buku karangan penulis buku best-seller Aku Terima Nikahnya, Ust. HasrizalAbdul Jamil dalam buku terbarunya ”Rindu Bau Pohon Tin”. Kisah Bukan Tempat Mencari Jantan, menceritakan bagaimana kejadian yang berlaku di dalam kelas Aqidah Ш bersama Dr. Mustafa Abu Zaid.

Tiba-tiba, ”PANGGG!” Terperanjat kami sekelas dibuatnya. Dr. Mustafa Abu Zaid menghempas failnya ke atas meja.

”Siapa yang pakai minyak wangi tadi?” bentak beliau.

Rupa-rupanya ada dua orang pelajar perempuan yang baru masuk ke kelas. Mereka memakai minyak wangi yang agak kuat baunya hingga dikesan oleh Dr. Mustafa.

”Allah! Habislah kita hari ni,” bisik saya kepada Munawwar di sebelah.

Memang menjadi suatu pantang yang amat sangat bagi Dr. Mustafa Abu Zaid jika ada pelajar perempuan yang bertabaruj (berhias) ke kelas. Apatah lagi minyak wangi.

Beliau memetik hadis Nabi SAW yang bermaksud:

“Apabila seorang perempuan memakai minyak wangi dan kemudian melintasi sekumpulan manusia dengan maksud untuk mereka itu menghidu wangiannya, maka perempuan itu adalah penzina. Dan setiap mata itu adalah penzina jua”. (Hadis riwayat al-Nasaa’ie, Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban)

”Universiti adalah tempat kamu mencari ilmu, bukan mencari jantan. Kalau mahu mencari jantan, berambus kamu ke pasar”, marah benar Dr. Mustafa Abu Zaid pagi itu.

Beliau amat sedih dengan gelagat pelajar di universiti. Lantaran kerenah pelajar di universiti amat menyedihkan. Pergaulan bebas dengan pakaian yang menjolok mata, amat mengganggu pemandangan.

”Kuliah Syariah pula di letakkan jauh di belakang. Untuk ke kelas, terpaksa menempuh Fakulti Undang-Undang, Sains dan Kejuruteraan. Di rumah hafal satu surah, sampai fakulti, lupa sepuluh surah!”, bisik saya kepada Munawwar.

”Universiti ini amat buruk kelakuan pelajarnya. Tetapi saya tidak boleh terima jika pelajar Syariah pun sama. Tidak boleh memakai minyak wangi untuk menarik perhatian atau hingga menarik perhatian. Itu perlakuan zina. Kamu balik ke rumah dan mandi wajib... kamu tahu Nabi Muhammad SAW pernah memberi amaran begitu?” Dr. Mustafa meneruskan tegurannya.

Sok... sek... sok... sek...!!!

Kami mendengar bunyi tangisan seorang pelajar perempuan di bahagian belakang kelas. Tidak berani untuk menoleh ke belakang.

”Kalau takut bau busuk, jaga kebersihan. Bukan dengan berwangi-wangian. Sudah, hari ini tiada kelas. Kita ganti semula kemudian. Saya tidak boleh mengajar dalam keadaan seperti ini. Bersurai semua,” tegas Dr. Mustafa.

Aduh! Rugi satu kelas.

”Hah, apa lagi? Bangun!”, Dr. Mustafa menyergah kami, pelajar lelaki yang masih tercegat di bangku masing-masing.

Sebenarnya, kami terus duduk kerana mahu mengesan siapakah pelajar perempuan yang dimarahi tadi. Tetapi Dr. Mustafa lebih cepat mengesan ’niat jahat’ kami lalu menghalau semua pelajar lelaki agar terlebih dahulu meninggalkan bilik kuliah. Kami segera bangun hingga ada yang tercicir pen di lantai.

Universiti adalah ’gelanggang merdeka’ untuk para pelajar bebas dari peraturan. Tiada lagi ibu bapa, tiada lagi pengawas yang menjadi ’kaki retot’ di sekolah. Tiada lagi warden yang akan menyergah asrama. Kebebasan itulah yang menjahanamkan jati diri kebanyakan para pelajar.

Seperti layang-layang yang memutuskan tali. Alasannya mahu terbang tinggi, rupa-rupanya sesat di rempuh taufan sampai jatuh binasa ke bumi. Hingga ramai yang lupa bahawa universiti tempat mencari ilmu bukan jantan bukan betina!

Al-Jaami’ah, wa maa adraaka maa al-Jaami’ah! (Universiti! Apa yang engkau tahu tentang universiti!)

No comments:

Post a Comment